Canada,  Pengangkutan Awam

Kemudahan Bas di Ottawa

Mungkin ada yang di antara pembaca teringat ketika berada di kelas tingkatan anda disuruh untuk menulis esei tentang kelebihan menaiki pengangkutan awam berbanding kenderaan peribadi. Post kali ini pula menggambarkan sehebat mana pula kita perlu jadi supaya soalan esei seperti tadi lebih relevan.

(Boleh ke perenggan keempat untuk skip intro)

Persoalan pertama ialah kenapa perlunya kita menaiki pengangkutan awam? Jawapannya ialah kerana ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Secara teorinya, semakin ramai orang yang menaiki pengangkutan awam – seperti bas dan LRT – semakin kuranglah kereta yang berada di atas jalan raya. Dan semakin lancarlah pergerakan di jalan raya.

Walaubagaimanapun, di Malaysia kita belum dapat merasai ‘perangai bergantung pada pengangkutan awam’, lebih-lebih lagi dengan bas awam. Mungkin kebiasaannya di Malaysia kita bertanyakan “bila bas ni nak sampai?” kerana tidak diberikan jadual ketibaan bas. Namun di Canada atau negara-negara maju secara amnya, persoalannya ialah sama ada bas itu tepati masa atau tidak.

Maklumat Lengkap Disediakan

Apa yang menyebabkan pengangkutan di Canada – paling kurang pun di Ottawa –  menjadi sebuah pengangkutan awam yang reliable ialah dengan tersedianya maklumat mengenai jadual dan laluan bas itu sendiri. Pentingnya jadual ialah supaya kita boleh merancang masa perjalanan kita. Ada juga mobile app yang memberikan jangkaan waktu ketibaan bas kepada pengguna. Dengan adanya kemudahan ini maka pengguna tidak lagi berteka-teki untuk tunggu berapa lama, atau paling teruk sama ada bas akan tiba atau tidak.

Peta Laluan Bas
Peta laluan bas yang mesra pengguna

Peta laluan pula membantu pengguna untuk membuat keputusan – bas nombor berapa yang perlu dinaiki untuk ke destinasi. Sesetengah bas di Ottawa mempunyai jalan mereka sendiri – sama dengan BRT di Sunway. Dengan adanya sistem ini, masa perjalanan bas dapatlah dioptimumkan kerana tidak terjejas oleh kesesakan lalu lintas di jalan biasa.

octranspo
Pusat bandar tak semestinya jadi destinasi akhir.

API Untuk Mobile App

Satu kecerdikan di sebalik kemudahan mobile app untuk bas tersebut ialah tersedianya API untuk app developer pihak ketiga. Bagi sesiapa yang tak familiar, API ialah singkatan untuk Application Program Interface. Dalam konteks ini, API tersebut digunakan oleh developer untuk mendapatkan maklumat jangka waktu ketibaan bas. Relevannya API itu dibuka untuk umum adalah syarikat bas itu sendiri boleh menjana pendapatan (biasanya app developer perlu bayar penggunaan API selepas beberapa ribu/puluh ribu API request dari pengguna).

Bukan app sebenar
Bukan app sebenar

Relevan keduanya ialah syarikat pihak ketiga juga boleh menjana pendapatan. Kebiasaanya app sebegini menjana pendapatan dengan meletakkan ruangan iklan pada app mereka. Semakin berkualiti app mereka, semakin ramailah pengguna. Semakin ramai pengguna, semakin banyaklah pendapatan mereka daripada iklan tersebut. Selain itu, dengan tersedianya banyak app untuk mendapat maklumat ketibaan bas, semakin reliable lah bas dilihat sebagai pengangkutan utama.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penggunaan pengangkutan bas di Ottawa adalah mesra pengguna kerana tersedianya maklumat. Perkara pertama yang boleh dijumpai di website syarikat bas di Ottawa ialah trip planner yang jelas terpampang di laman utama. Ia sememangnya sehaluan dengan apa yang dicari oleh pengguna ketika menziarahi laman web syarikat bas tersebut.

Dan sudah tentunya kita boleh bandingkan keadaan di Ottawa dengan pengangkutan bas yang disediakan di Malaysia – atau lebih spesefik lagi di Lembah Klang. Di sini, tidak dinafikan adanya maklumat untuk pengguna bas, tetapi ia tidak diletakkan sebagai paksi untuk kemudahan pengguna.

"Peta" laluan bas sesetengah syarikat bas di Malaysia
“Peta” laluan bas sesetengah syarikat bas di Malaysia

Kadang kala maklumat yang disediakan juga tidak lengkap. Sebagai contoh, bas dari Putrajaya ke Puchong tidak rekodkan maklumatnya di website rapidkl sendiri walaupun wujud pada fizikalnya. Ada juga syarikat bas yang langsung tidak mempunyai capaian sendiri – sama ada website atau media sosial. Maka laluan mana pun kita hanya dapat tahu bila tanya pemandu bas.

Ini hanyalah salah satu faktor bagaimana bas dijadikan sebagai pengangkutan utama di Canada. Cerita tentang bas ni belum lagi habis, kerana bas awam di Ottawa digunakan oleh segenap lapisan masyarakat – sama ada yang tua, muda, yang upaya, yang kurang upaya, orang putih, orang berwarna, pekerja, pelajar dan macam-macam lagi. Malah, pengayuh basikal pun boleh tumpangkan basikalnya pada bas jika penat mengayuh atau apa-apa pun alasannya tidak mahu mengayuh. Sebagaimana itulah post ini tamat di sini.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *