Canada,  Masyarakat,  Pengangkutan Awam

Di Jalanan Canada

Ini adalah pemerhatian sosial ketika di berada di jalanan Canada. Salah satu inisiatif kami untuk membawa pulang pengalaman belajar dan hidup dari luar negara untuk tanah air supaya dapat menyumbang kepada naiktaraf kehidupan masyarakat.

1. Sebelum Keluar Rumah

Sebelum keluar rumah, kebiasaan orang akan melihat waktu ketibaan bas di stesen bas terdekat. Dengan ini, perjalanan dapat dirancang dengan lebih baik dan mengurangkan waktu menunggu di dalam kesejukan atau kepanasan cuaca. Bas hanya akan berhenti di perhentian bas, dan setiap perhentian mempunyai kod sendiri supaya penumpang boleh mendapatkan anggaran waktu ketibaan di perhentian tersebut melalui panggilan telefon atau SMS.

2. Dalam Bas

Ketika di dalam bas, anda berhak untuk bercakap dengan kuat, dan ia tak dianggap mengganggu ketenteraman awam. Mungkin hanya mengganggu ketenteraman peribadi. Namun ia melambangkan bahawa hak anda untuk membuat bising juga harus dihormati oleh orang lain. Ianya berbeza dengan budaya masyarakat di Jepun, di mana kebanyakan orang akan menghadap phone atau buku masing-masing. Membuat bising di kawasan awam dianggap mengganggu harmoni persekitaran. Bercakap tentang buku, ianya bukan suatu yang asing untuk membaca buku atau paling kurang akhbar ketika sedang dalam perjalanan. Suatu budaya yang asing di Malaysia, sedangkan ia merupakan antara waktu yang sesuai dimanfaatkan untuk membaca.

hot-dudes-reading-books-instagram
Dilarang membaca hanya untuk kelihatan segak

Perkhidmatan pengangkutan awam di Canada digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk orang tua, orang kurang upaya dan ibu bapa yang membawa kereta bayi. Masyarakat di sini tiada masalah untuk memberi tempat duduk mereka kepada orang yang lebih memerlukan. Mereka sedia bangun dari tempat duduk tanpa perlu diminta.

3. Di Atas Jalan Raya

Pemandu di sini tak begitu terkejar-kejar di atas jalan. Setibanya di simpang empat tanpa lampu trafik, mereka akan berhentikan kenderaan walaupun tiada sesiapa yang menunggu. Simpang yang sebegini memerlukan perhatian yang lebih berbanding simpang yang diawasi lampu trafik. Sekiranya ada kenderaan lain, sesiapa yang mula-mula berhenti akan diberi keutamaan untuk bergerak terlebih dahulu. Kenderaan juga akan berhenti untuk memberi laluan kepada pejalan kaki di zebra crossing. Secara umumnya, di sini pejalan kaki akan rasa lebih selamat untuk melintas kerana sikap toleransi pemandu.

4. Pembantu Kedai

Di Canada, pembantu kedai akan mengalu-alukan kedatangan pelanggan. Dan apabila ada promosi, mereka akan beritahu di pintu masuk supaya kita tahu harga telah menjadi murah – satu gesture yang mudah dan membantu penjualan. Apabila pelanggan mencari barang, pembantu kedai akan cakap “saya ada di sini kalau anda perlukan pertolongan” dan berlalu membuat kerja sendiri. Tindakan ini tidak menceroboh privasi pelanggan untuk mengimbas (browsing) barang-barang di dalam kedai, tetapi dalam masa yang sama menawarkan kesediaan untuk berkhidmat. Lain pula halnya di Malaysia, apabila pelanggan ingin mengimbas barangan kedai, pembantu kedai duduk di belakang macam stalker. Bila perlukan bantuan, haram tak ada orang di keliling. Apabila kedai membuat promosi, tak sepatah pun disampaikan kepada pelanggan. Sama ada pembantu kedai tak menjalankan tugas, ataupun pengurus tak mendidik cara perkhidmatan yang sepatutnya disampaikan.

5. Medan Selera

Mereka tak tinggalkan sisa makanan di atas meja di medan selera. Sesudah makan, mereka akan membawa segala sisa di atas tray. Segala sisa dibuang ke dalam tong sampah, dan tray diletakkan di tempatnya sendiri. Perkara ini sudah menjadi budaya di sana. Budaya bahawa setiap orang berkongsi tanggungjawab untuk menjaga kebersihan persekitaran.

6. Berterima Kasih

Ketika memesan sesuatu di kedai kopi contohnya, mereka akan menggunakan perkataan “please”. Sebagai contoh, “Can I have one double double, please?”. Apabila sudah mendapat pesanan, mereka akan menyebut terima kasih. Di kaunter bayaran juga, apabila kita selesai membuat bayaran, pembantu kedai akan mengucapkan terima kasih. Beginilah servis di First World country. Maka padanlah slogan “customer is always right” diguna pakai di sini.

Ulasan

Bidang pengangkutan awam telah diteliti dengan mendalam oleh pihak pengurusan pengangkutan awam supaya dapat memberikan servis kepada masyarakat. Ini menunjukkan bahawa sekiranya suatu servis itu hendak dilaksanakan, lebih baik ia dilakukan dengan cekap dan teliti supaya dapat membantu dan tidak menjadi usaha sia-sia. Namun, kita tak boleh membandingkan sistem pengangkutan awam di Malaysia dan Canada secara terus. Sistem pengangkutan awam dikendalikan oleh satu syarikat sahaja dalam sesebuah negeri di Canada manakala dalam Lembah Klang sahaja terdapat banyak syarikat yang mengendalikan pengangkutan awam. Pengurusan untuk mengawal selia menjadi lebih mencabar untuk SPAD supaya semua syarikat dapat mencapai sebuah piawaian yang ditetapkan.

Sistem pembuatan jalan juga telah dirangka dengan teliti untuk memastikan ketersediaan laluan pejalan kaki di bandar dan kawasan perumahan. Perangkaan yang teliti ini dapat memberikan sinergi yang baik antara pejalan kaki dan bas awam. Kawasan yang dilalui bas akan mudah tersedia kepada pejalan kaki. Ini juga adalah antara faktor yang menjadikan sistem pengangkutan di Canada cekap dan sesuai digunakan (convenient).

Canadians mempunyai nilai budi yang tinggi, dan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian etnik dan personaliti. Inilah antara perkara yang dapat diperhatikan pada masyarakat di jalanan Canada. Kita tidaklah mengatakan 100% masyarakat mengikut resam ini. Namun, ia menjadi sebuah standard yang kita boleh jangkakan pada masyarakat ini. Adakah kita perlu mengikut budaya ini secara keseluruhannya? Tak juga. Asalkan falsafah di sebalik kebudayaan itu kita dapat perlihatkan dalam cara kita sendiri, ia adalah sama dengan apa yang dilakukan di sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *