Malaysia,  Pendidikan

Tajaan Pengajian yang Membazir Duit Rakyat

Baru-baru ni ada dua artikel (atau confession) yang berkaitan dengan biasiswa pelajar ke luar negara yang tersiar di page IIUM Confession. Satu daripada confession tersebut mengatakan bahawa biasiswa pengajian ke luar negara ini adalah membazir kerana tidak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan tanah air. Ada juga yang menceburi bidang yang tidak berkaitan dengan matapelajaran yang diambil. Satu lagi confession mengatakan bahawa graduan luar negara tidak mempunyai peluang untuk menyumbang kepada kemajuan tanah air. Kebanyakan perkara yang disebut dalam confession tersebut ada betulnya, cuma peluang untuk menyumbang itu perlu dibahaskan lebih dalam lagi.

Perlu diketahui bahawa perbelanjaan untuk tajaan ijazah sarjana muda di luar negara boleh mencecah sehingga setengah juta Ringgit Malaysia seorang. Ianya suatu jumlah yang mencecah 50 kali ganda berbanding yuran pengajian di universiti awam tempatan. Sekiranya kuota ini digunakan untuk menaja pelajar di universiti tempatan, 50 pelajar mampu mendapat pendidikan yang setaraf. Walaupun mungkin pengalaman dan persekitaran pembelajaran berbeza antara tempatan dan luar negara, pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia bukanlah sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh pelajar luar negara. Hal ini kerana, faktor untuk diambil bekerja hanyalah diukur mengikut kriteria yang sama iaitu pengalaman pekerjaan.

Pemerhatian yang boleh dibuat di sini ialah pekerjaan yang diceburi oleh graduan segar berada di tahap yang sama bagi pelajar tempatan dan tajaan luar negara. Sijil luar negara bukanlah syarat kelayakan bagi syarikat-syarikat seperti Petronas, SapuraKencana, Proton, Top Glove dan pelbagai lagi syarikat-syarikat besar di Malaysia. Ramai juga graduan tempatan yang mendapat tempat di syarikat-syarikat besar Malaysia. Meskipun sekiranya pelajar graduan luar negara sahaja yang diambil bekerja, kebanyakan teknologi-teknologi canggih dibeli dari luar negara. Servis perundingan untuk teknologi yang kompleks juga diberi oleh syarikat luar negara. Ini bermakna Malaysia masih ketinggalan dalam penciptaan teknologi canggih yang bukan hanya mampu menambahkan bidang kerja professional, tetapi juga mampu dijual kepada negara-negara jiran yang sedang membangun.

gdp-my-th-id-vn

MTDC yang mengendalikan geran kerajaan untuk kemajuan teknologi dan sains menerima sejumlah besar kertas kerja teknologi yang boleh dikomersialkan. Sesetengahnya boleh dihasilkan di dalam negara, tetapi ada juga sebahagiannya yang tidak. Ianya memerlukan teknologi pembuatan yang tidak dapat terdapat di Malaysia. Akibatnya, teknologi itu dijual ke luar negara dan menjadi aset negara lain.

Dalam industri terbesar negara iaitu oil & gas, tenaga kejuruteraan tempatan mampu menyediakan kepakaran untuk kegunaan teknologi terkini, namun belum mampu mencipta teknologi baharu. Teknologi perubatan yang dibuat di Malaysia pula adalah sekadar jarum, peralatan bedah, katil wad, dan pacemaker. Teknologi tangan robotik yang digunakan untuk memasang kereta tempatan juga bukan disumbangkan oleh kepakaran Malaysia. Inilah jurang kepakaran yang belum diisi oleh industri di Malaysia. Kepakaran teknologi pembuatan yang boleh dipasang di kilang-kilang untuk membangunkan produk yang lebih canggih.

Jadi adakah tajaan pengajian ke luar negara merupakan satu pembaziran? Ianya harus dilihat berlandaskan tujuan asal pelajar-pelajar ini ditaja ke luar negara. Sekiranya ia bertujuan untuk menambahkan tenaga kepakaran, maka ianya bukan satu pembaziran.  Sekiranya ia bertujuan membawa perubahan pada negara mungkin ia satu pembaziran. Namun, sejauh manakah budaya perubahan dan inovasi diraikan di Malaysia? Sejauh manakah tenaga-tenaga muda ini ingin didengari oleh tenaga-tenaga senior? Tidak kira dari aspek sosial, teknologi, ekonomi, mahupun politik, banyak lagi perkara yang mampu diperbaiki untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur. Namun sekiranya suara tenaga muda ini tidak mahu didengar, ada baiknya tajaan pengajian ke luar negara dikurangkan.

Untuk persoalan yang kedua, adakah nasib tidak menyebelahi graduan luar negara? Mustahil. Walaupun tiada peluang pekerjaan yang memenuhi kehendak, dapat menuntut di luar negara sudah pun merupakan suatu keistimewaan. Tidak harus keistimewaan itu dipandang sepi hanya disebabkan peluang terhad yang disediakan dalam negara. Selagi cinta akan tanah air masih berada di dalam jiwa, selagi itu usaha itu dikira. Sama ada meningkatkan potensi diri, mengkaji landskap bidang pengajian, ataupun dengan menambah ilmu di dada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *