Aplikasi cuaca menunjukkan julat suhu di luar sekitar 12 – 17 darjah celcius dengan langit cerah. Maka saya memasangkan sweater saya siap-siap sebagai persiapan mengekalkan suhu badan yang berdarah panas. Aplikasi OC Transpo menunjukkan bas akan tiba di stesen bas terdekat dua minit lagi. Pilihan saya untuk berjalan 10 minit ke stesen keretapi bertukar kepada menaiki bas untuk kurang 2 minit ke stesen yang sama. Sebaik saja kaki dijejak ke dalam bas, saya disambut senyum ramah pemandu bas wanita yang berumur lingkungan 30-an. Mungkin 40-an jika ditambah faktor awet muda. Hidup di sini telah jauh dipermudahkan dan lebih baik berbanding hidup di rumah sana.
Namun sebagai seorang graduan luar negara, saya rasa bertanggungjawab membawa sesuatu untuk dibawa pulang ke tanah air. Macam ole-ole lah orang kata. Lagipun, saya ni satu di antara ramai yang menghabiskan/menggunakan duit negara untuk menuntut sebuah sijil degree. Dan harga degree itu bukanlah sedikit. Saya secara peribadi merasakan peluang yang diberi itu tidak sepatutnya dimanfaatkan seorang saja. Dan amatlah ruginya jika saya pergi mencari degree sahaja tanpa memerhatikan apa yang lebihnya di negeri orang di mana kurangnya pada negeri sendiri. Sebagai contoh, subjek pengangkutan awam yang saya selit di perenggan pertama di atas.
Maka itulah latar belakang blog ini ditubuhkan. Ianya merupakan sebuah inisiatif di mana kami akan cuba menyusun tulisan-tulisan (artikel, anekdot, etc) pemerhatian tentang kehidupan di luar negara berbanding dengan kehidupan di Malaysia kita. Tujuannya untuk menunjukkan sesuatu kelebihan yang kita boleh contohi. Bukan sekadar mencontohi dalam konteks mengagumi sahaja, tetapi untuk dipraktikkan supaya kehidupan masyarakat di negeri sendiri jadi bertambah baik.
Pemerhatian merangkumi pelbagai aspek kehidupan, pekerjaan dan demografik seperti kehidupan seharian, sikap masyarakat, ekonomi, persekitaran, kemudahan awam dan senarai yang berterusan. Semoga inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada segenap masyarakat.