Malaysia,  Masyarakat,  Pendidikan

Kemanusiaan dan Sistem Pendidikan di Malaysia

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

— Falsafah Pendidikan Negara 1996

Falsafah Pendidikan Negara

Falsafah pendidikan negara (FPN) merupakan otak di sebalik struktur pendidikan di Malaysia. Istilah falsafah itu sahaja telah pun memberi maksud sebuah pemikiran dan wawasan terhadap sesuatu. Dalam konteks tulisan ini, pendidikan. Pendidikan di Malaysia bertujuan untuk membina masyarakat yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Falsafah ini juga ingin membentuk individu yang dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

Ini merupakan falsafah yang bagus, namun realitinya, sistem pendidikan di Malaysia lebih mementingkan penilaian markah untuk mata pelajaran yang dianggap penting. Ukuran ini adalah berat sebelah kerana tidak semua orang diberi kelebihan dari segi akademik. Sesetengah orang dilahirkan dengan bakat, kemahiran fizikal ataupun sosial. Dalam sistem yang digunapakai sekarang, nampak gayanya potensi bakat-bakat ini tidak dapat diperkembangkan dengan baik kerana sistem pendidikan kita menganggap bahawa akademik adalah segala-galanya. Subjek sains dan matematik pula diletakkan lebih atas dari subjek-subjek yang lain, seolah-olah menjadi kunci yang tunggal untuk kemajuan negara.

Tujuan Pendidikan yang Sebenar

Pendidikan sepatutnya dapat memupuk apa sahaja bakat atau ilmu yang di dalam kecenderungan pelajar, tak kira akademik mahupun kemahiran. Tidak semua orang dilahirkan untuk menjadi doktor, peguam atau engineer. Setiap individu di dalam masyarakat mempunyai kecenderungan masing-masing. Sekiranya kecenderungan ini dibawa kepada bidang yang dipaksa terhadap mereka, ia tidak dapat memberikan hasil yang produktif. Pendidikan juga berperanan menghasilkan aset manusia kepada negara kerana manusia jualah yang menjadi asas kepada pembentukan negara. Sistem pendidikan juga harus celik dengan permasalahan akar dalam masyarakat supaya dapat menghasilkan individu yang bersedia untuk memperbaiki dan memajukan negara.

Antara produk pendidikan yang kita perlukan ialah ahli sejarah yang dapat menilai aspek moral yang membentuk bangsa kita (bangsa Malaysia), dan bukan sekadar perhatian terhadap fakta semata-mata. Penilaian sejarah dapat mengingatkan kita kembali bahawa kita adalah sebuah bangsa yang hebat. Ia dapat memupuk jati diri dan dapat membentuk persefahaman antara satu sama lain. Seterusnya, ia dapat membentuk keyakinan bahawa bangsa kita dapat melangkah maju di samping negara-negara besar sebagai diri kita sendiri, dan bukannya jelmaan bangsa lain.

Kita juga memerlukan ahli sastera yang bukan sahaja terdiri dari satu bangsa. Karya sastera sepatutnya dapat mencerminkan kembali sikap dan kemanusiaan masyarakat. Penyampaian melalui penceritaan dan empati mempunyai kebolehan menyentuh hati dengan lebih dekat, maka ia boleh menjadi teguran dan kritikan yang lebih berkesan.

Selain itu, ahli sukan yang berkualiti juga dapat menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Di samping nama Malaysia sendiri, telah banyak kali kita lihat bagaimana kejayaan pasukan Malaysia yang berjaya di peringkat dunia dapat menaikkan semangat perpaduan bangsa kita. Maka inilah produk yang perlu kita hasilkan daripada sistem pendidikan kita. Produk pendidikan yang dapat membentuk masyarakat yang lebih kuat.

Kemanusiaan dan Sistem Pendidikan

Fokus pendidikan terhadap bidang sains dan teknologi sudah tentu dapat menghasilkan lebih ramai pakar dalam bidang tersebut. Namun negara bukannya dibina atas sains dan teknologi semata-mata. Negara dibina atas kekuatan masyarakatnya. Sistem pendidikan pula berperanan menjadi guru kepada masyarakat ini. Menjadi guru bukanlah hanya sekadar mengajar mata pelajaran akademik sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menerapkan nilai-nilai moral ke dalam masyarakat dan memupuk sikap cinta akan ilmu. Dengan menjadikan kedua-dua aspek ini sebagai asas dalam prinsip masyarakat, ia akan menjadikan perkembangan ilmu itu menjadi lebih produktif. Menerapkan nilai-nilai kemanusiaan akan memupuk rasa empati sesama masyarakat, seterusnya nilai kerjasama antara satu sama lain. Rasa empati juga dapat memberikan kesedaran terhadap perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat yang kurang bernasib baik. Dengan tersemainya sikap cinta akan ilmu dalam masyarakat, ia dapat menjadikan nilai kerjasama tadi sebagai matlamat  ilmu itu dipraktikkan dan diperkembangkan lagi.

Sistem pendidikan kita terlalu mementingkan keputusan di atas kertas. Ini termasuklah keputusan peperiksaan, pencapaian KPI, gred purata sekolah dan sebagainya. Namun, ini hanyalah penilaian ataupun gred berdasarkan data yang mampu dikumpul. Gred ini pula bukanlah melambangkan pencapaian pelajar, guru mahupun sekolah secara keseluruhan. Ia tidak mengambil kira potensi, tidak mempertimbangkan sikap, juga tidak mencerminkan penguasaan mata pelajaran. Tambahan pula, ia menimbulkan masalah jurang antara kelas depan dengan kelas belakang dari segi kesamarataan penyampaian ilmu. Sistem yang mementingkan gred akan menyebabkan lebih tumpuan terhadap pelajar kelas depan dan mengkemudiankan pelajar kelas belakang. Pelajar bermasalah pula sukar diterima di ke dalam sekolah kerana bimbang ia akan menjatuhkan gred purata sekolah, sedangkan merekalah yang perlukan lebih bimbingan untuk menjadi individu yang lebih baik. Tidak wajar penilaian sebegini diteruskan jika mengabaikan kemanusiaan dalam pendidikan.

Pelaksanaan

Falsafah pendidikan akan kekal sebagai falsafah jika ia tidak dilaksanakan dengan betul. Sebagaimana tujuan pendidikan diiringi dengan falsafah, pelaksanaan juga harus dituntun oleh falsafah atau mungkin suatu panduan. Panduan pelaksanaan pendidikan haruslah digariskan untuk mencapai matlamat sistem pendidikan kita. Antara contoh panduan pelaksanaan ialah memberikan masa yang cukup kepada guru untuk menjalankan kerja-kerja mendidik pelajar. Maka berdasarkan panduan ini, kerja-kerja yang tidak melibatkan proses mendidik harus dikemudiankan oleh pentadbiran kementerian pendidikan. Kerja-kerja pelaksanaan sistem telah berkali-kali dirombak semula, dan kini dikatakan lebih membebankan guru. Namun sekiranya masalah utama di dalam sistem itu tidak diperbetulkan, selagi itu jugalah masalah sekitar isu pendidikan akan timbul semula dalam kitaran yang tiada penghujungnya.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *